Kronologi Perkembangan Permainan Gasing – Usaha-usaha untuk Meningkatkan Populariti Permainan Gasing di Malaysia
1971: Pembentangan Mengenai Gasing di Kongres Kebudayaan Malaysia di Universiti Malaya
Setelah mendapati populariti permainan gasing mula merosot, para pemain dan peminat gasing mula memikirkan cara-cara untuk meningkatkan kembali populariti permainan gasing. Pada 16 April 1971, ketika Kongres Kebudayaan Malaysia berlangsung di Universiti Malaya, satu kertas kerja berkaitan dengan pertukangan wau, gasing dan patung wayang kulit telah dibentangkan oleh Tan Sri Datuk Haji Mubin Sheppard.
1972: Usaha-usaha Menyeragamkan Permainan Gasing menerusi Kongres Kebudayaan Melayu
Antara penyebab kenapa permainan gasing sukar untuk dipopularkan di setiap negeri ialah faktor-faktor ketidakseragaman dalam peraturan permainan gasing, bentuk gasing dan corak permainan gasing di kebanyakan negeri. Menyedari betapa pentingnya keseragaman dalam permainan gasing diwujudkan, maka pada tahun 1972, Kongres Kebudayaan Melayu telah diadakan.
Seminar Penyatuan Undang-undang Gasing telah diadakan di Sekolah Dato’ Seri Amar DiRaja, Muar, Johor, bertujuan menyeragamkan permainan gasing di seluruh negeri. Antara perkara yang dibincangkan menerusi seminar ini ialah kaedah-kaedah untuk mengesan persamaan dalam permasalahan yang wujud dalam permainan gasing, dan kaedah-kaedah untuk menyatukan permainan gasing. Pada peringkat awal perbincangan, beberapa negeri telah membantah kerana mahu mengekalkan bentuk dan peraturan gasing seperti sediakala.
Kemudian, satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan pada 23 September 1972 iaitu kira-kira lima bulan selepas seminar Penyatuan Undang-undang Gasing dibentuk di Muar. Mesyuarat pertama yang diadakan di Rumah Persinggahan Melaka akhirnya bersetuju untuk mencuba peraturan yang telah digubal.
1973: Perlaksanaan Format Permainan Gasing yang telah diseragamkan
Pada 5 Ogos 1973, corak permainan yang telah diseragamkan ini mula dilaksanakan dalam pertandingan gasing di negeri Melaka yang disertai oleh tiga buah negeri.
1974: Mesyuarat Penyelarasan Permainan Gasing di Kuala Lumpur dan Johor
Dua mesyuarat penyelaras telah dibentuk. Mesyuarat penyelaras pertama pada 10 Februari 1974 di Wisma Belia, Kuala Lumpur, manakala mesyuarat penyelaras kedua pada 10 Julai 1974 di Bangunan Majlis Perbandaran Johor Bahru, Johor.
1975: Cadangan Penubuhan Lembaga Pengadil Gasing
Cadangan menubuhkan Lembaga Pengadil Gasing telah dicetuskan dalam mesyuarat penyelaras kali ketiga pada 20 Mei 1975, di Wisma Belia. Cadangan ini dipersetujui dan majlis penubuhan Lembaga Pengadil Gasing telah berlangsung di Pejabat Daerah Kelang pada 20 Jun 1975. Di dalam majlis ini juga, perbincangan mengenai penubuhan Persekutuan Gasing Malaysia diwujudkan.
1977: Tertubuhnya PEGAMA
Pada 5 Disember 1977, Persekutuan Gasing Malaysia (PEGAMA) telah ditubuhkan dan didaftarkan di Melaka setelah melalui beberapa perbincangan.